Tumpuan :
Nasional

Ibu serah anak kepada pusat jagaan atas faktor kemurungan 

JOHOR BAHRU: Disebabkan mengalami masalah kemurungan, seorang wanita dengan rela hati menyerahkan anak perempuannya yang berusia 11 tahun kepada sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Wanita berusia 38 tahun itu mendakwa dia berdepan kekangan hidup untuk membesarkan kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat ibu kanak-kanak itu kira-kira jam 8.20 malam, Ahad lalu, sehari selepas pengurus sebuah taska di kawasan Taman Scientex, Pasir Gudang itu membuat laporan polis.

“Kita menerima laporan daripada seorang pengurus taska iaitu wanita berusia 42 tahun yang hadir ke Balai Polis Taman Scientex pada Sabtu lalu, kira-kira jam 8 malam, untuk menghantar kanak-kanak perempuan tempatan berusia 11 tahun itu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ibu kanak-kanak itu katanya tidak sanggup menjaga anaknya yang dikatakan pernah lari dari rumah.”Esoknya, ibu kanak-kanak itu turut membuat laporan polis memaklumkan dia dengan rela hati menyerahkan kanak-kanak berkenaan kepada pihak Pusat Jagaan Kanak-kanak Perempuan TBQ Amal, Johor bahru atas sebab kekangan hidup,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati ibu kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah kemurungan dan sedang mendapatkan rawatan bulanan di Hospital Permai di sini.

“Kita turut mendapati tiada elemen pengabaian, penderaan atau gangguan seksual ke atas kanak-kanak berkenaan.”Kes diklasifikasikan sebagai rujuk lain-lain agensi iaitu JKM dan kanak-kanak itu kini berada di Pusat Jagaan Kanak-kanak Perempuan TBQ Amal, Johor Bahru,” katanya.

Terdahulu, polis mengesan satu hantaran dimuat naik satu akaun media sosial di ‘Twitter’ mendakwa seorang ibu membuang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu kerana dikatakan sudah berkahwin baharu.

Pada masa sama, Mohd Sohaimi mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat.

Loading...
Terkini