KUALA LUMPUR: Disebabkan si ibu menyangka sudah menghantar anaknya ke taska, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan tertinggal kira-kira 10 jam di dalam kereta ibunya yang juga seorang doktor di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini, semalam.
Bayi terbabit ditemukan maut selepas tertinggal di dalam kereta dari pagi hingga petang.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata siasatan awal mendapati pada jam 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan bayinya di tempat duduk belakang penumpang sebelah kiri dalam kereta untuk dihantar ke TASKA.
“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke TASKA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zam Halim berkata, ibu mangsa hanya menyedari bayi itu masih berada di dalam kereta pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke TASKA.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.
Terdahulu, pegawai perubatan HTCM menerima laporan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi Hotline Polis Cheras melalui talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.
| ARTIKEL BERKAITAN
Tertinggal lebih 7 jam dalam kereta, bayi lapan bulan maut
Bayi 5 bulan terperangkap dalam kereta setengah jam
Bayi Lelaki 10 bulan Terperangkap Kira-Kira Sejam Dalam Kereta