BACHOK: Ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18 meninggal dunia.
Penghulu Mukim Kandis, Razali Yasod mengesahkan kejadian dan berkata, dia mengetahui berita kematian Tuan Faridah Tuan Ismail, 53 lebih kurang jam 8 malam tadi.
Katanya, dia terus ke rumah Syahril dan setakat ini, lebih 30 ahli keluarga dan orang ramai hadir ke rumah pelajar berkenaan di Kampung Kandis.
“Difahamkan jenazah akan disolatkan di sini sebelum dikebumikan di Kampung Padang Lati, iaitu kampung asal arwah esok pagi.
“Ketika ini saya masih berada di rumah Syahril untuk membantu dengan ahli keluarga lain,” katanya ketika dihubungi, tadi.
Artikel berkaitan: Pelajar peroleh 11A SPM mohon orang ramai hormati ibu uzur
Terdahulu, kisah Syahril tular selepas pengorbanan pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu menjaga ibu yang sakit namun berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM yang diumumkan, Khamis lalu.
Syahril menerima keputusan SPM daripada pihak sekolah yang hadir ke rumahnya kerana dia tidak dapat ke sekolah kerana menjaga ibunya yang tidak sihat kerana sakit angin Ahmar sejak 2019.