CHUKAI: Ibu bersama bayi lelaki berusia 25 hari nekad meredah banjir selepas rumah didiaminya bersama suami dan mentua ditenggelami banjir sehingga 0.7 meter di Kampung Baru Kiri, Kemasik, di sini, petang semalam.
Nurfatihah Idris, 30, berkata,dia terpaksa membuat keputusan itu bagi mengelak terperangkap dalam banjir walaupun bimbang kejadian buruk berlaku kerana masih berpantang.
“Ini pengalaman pertama saya berpindah dalam keadaan berpantang. Memang takut dan cemas kerana selain bayi ini, saya dan suami, Hafizie Jaffar, 34, terpaksa mendukung dua lagi anak berusia lima dan tiga tahun termasuk membawa mentua, Wook Ngah, 66, ketika berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik.
“Jarak rumah kami dengan PPS ini hampir satu kilometer dan kami ke PPS ini dengan menaiki kereta suami pada jam 4 petang semalam,” katanya ketika ditemui di PPS SK Kemasik, di sini, hari ini.
Menurut Nurfatihah, apabila tiba musim tengkujuh, pusat pemindahan menjadi rumah kedua bagi keluarganya berikutan kediaman mereka yang terletak berhampiran Sungai Tumpat sering ditenggelami banjir.
Katanya, situasi yang dihadapi saban tahun menyebabkan suami membuat persediaan awal dengan meletakkan barangan dan peralatan elektrik serta pakaian di tempat selamat.
“Boleh dikatakan setiap tahun kediaman kami dinaiki air, yang bezanya banyak atau sedikit sahaja tetapi kali ini, saya tidak menyangka air naik dengan cepat sehingga paras paha.
“Bayangkan pada jam 2 petang, air hanya bergenang di kawasan rumah sahaja menyebabkan kami tidak bersiap untuk berpindah namun dalam tempoh dua jam, air naik mendadak menyebabkan suami membuat keputusan untuk berpindah,” katanya.
Tinjauan NSTP mendapati seramai 426 mangsa membabitkan 125 keluarga dari enam kampung ditempatkan di PPS berkenaan.
Ia membabitkan Bukit Kukuran (259), Kampung Baru Kiri (218), Gong Cengal (141), Padang Kemasik (109), Kampung Baru Kanan (70) dan Kampung Lubok Kawah seramai 32 mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.