comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ibu mengaku tidak bersalah, tinggalkan anak 8 jam dalam kereta hingga mati

PETALING JAYA: Ibu kepada kanak-kanak perempuan yang maut selepas lapan jam ditinggalkan dalam kenderaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Nur Sari Fardiana Mohd Amran, 38, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang mempunyai perniagaan atas talian didapati melakukan pengabaian dengan meninggalkan anaknya, Airis Heidi Mohammad Hafiz yang berusia dua tahun tiga bulan dalam kereta hingga menyebabkan kematian di hadapan rumah di Ara Damansara, di sini, antara jam 8 pagi hingga 3.15 petang, 8 November lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

“Syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Nur Sari Fardiana, Datuk Hanif Hassan memohon jaminan RM5,000 selepas menyifatkan cadangan jaminan pendakwaan terlalu tinggi.

“Mangsa dalam kes ini adalah anak tertuduh, sepanjang lebih sebulan ini dia mengalami trauma dan perkara ini perlu diambil kira dalam menetapkan jumlah jaminan.

“Anak guam tidak dapat fokus kepada perniagaannya yang menyebabkan pendapatan merosot, selain tiada risiko melarikan diri dan memberi kerjasama sepanjang siasatan,” katanya.

Mendengar rayuan kedua-dua pihak, Dr Syahliza kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan, selain menetapkan 30 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan wanita itu menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran dan seterusnya ke tadika berdekatan untuk menghantar mangsa, jam 7 pagi pada hari kejadian.

Ibu mangsa berhenti sekejap sejurus tiba di tadika untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian hingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi berkenaan.

Ibu mangsa terus balik ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada dalam kereta pada jam 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Bapa mangsa membuat panggilan Mers 999, memberi rawatan awal kepada mangsa sehingga pihak ambulans dan polis tiba di tempat kejadian, bagaimanapun kanak-kanak itu disahkan sudah meninggal dunia.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini