PUTATAN: Seorang wanita maut, manakala anak lelakinya cedera parah akibat digilis kereta api ketika cuba melintas landasan dekat Kampung Petagas, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa Lena Gabin, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak lelakinya berusia 11 tahun parah putus kaki kanan, cedera di tangan dan kepala.
Difahamkan, ketika kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Muhibbah, Petagas yang terletak di seberang landasan.
Sebelum itu, wanita berusia 41 tahun terbabit mengambil anaknya berusia 11 tahun balik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas dengan berjalan kaki.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, kenyataan media akan dikeluarkan selepas pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang selesai membuat siasatan awal di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba, Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.58 tengah hari.
Katanya, laporan kejadian membabitkan dua mangsa wanita dan anaknya dirempuh kereta api ketika sedang melintas di landasan kereta api yang sedang menuju ke Kota Kinabalu dari Beaufort.
“Wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya parah fan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Pasukan bomba melakukan pembersihan di lokasi kejadian dan membantu mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 2.47 petang.
Sebaik mayat mangsa dialihkan, kereta api meneruskan perjalanan ke stesen di Tanjung Aru.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.