Oleh : Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Seorang ibu maut, manakala tiga anaknya sesak nafas dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga bangunan rumah kedai di Jalan Senyum, Kampung Wadi Hana, di sini awal pagi hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman, berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital akibat sesak nafas.
Menurut Mohamad Faiz, seramai 49 anggota dari BBP Larkin, BBP Tebrau, BBP Johor Jaya dan BBP Kempas dibantu lapan jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.53 pagi.
“Kebakaran membabitkan tiga bangunan rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal. Bangunan pertama membabitkan kedai dan lima pintu bilik sewa terbakar kira-kira 70 peratus.
“Bangunan kedua pula mengandungi sebuah kedai dan lima pintu bilik sewa terbakar kira-kira 90 peratus, manakala bangunan ketiga sebuah kedai dan tiga pintu bilik sewa terbakar 65 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, empat beranak yang terperangkap dalam sebuah bilik berjaya diselamatkan iaitu seorang wanita berusia 53 tahun bersama tiga anaknya berusia antara tujuh, 18 dan 21 tahun.
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk rawatan akibat sesak nafas.
Bagaimanapun wanita berkenaan meninggal dunia ketika dirawat.
“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat mengesahkan wanita dan tiga lagi mangsa yang cedera adalah dari satu keluarga dan disahkan bukan warganegara.