Oleh: Nurul Amalina Zainudin
PETALING JAYA: Ibu kepada wanita Malaysia, Angie Chong Sum Yee, 22, yang dilaporkan hilang di Chiang Mai, Thailand bimbang anaknya mungkin menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan di Myanmar.
Lebih-lebih lagi kata ibu mangsa, Chee Choy Won, 50, siasatan awal polis Thailand mendapati anaknya telah menyeberang sempadan ke Tachilek, Myanmar sejak 30 Mei lalu.
Media sebelum ini melaporkan, Angie berlepas ke Chiang Mai 29 Mei lalu dan melakukan perjalanan sejauh 250 kilometer ke daerah utara Mae Sai.
Lokasi itu berdekatan bandar Tachilek di Myanmar di mana kes pemerdagangan manusia pernah dilaporkan.
Menurut Choy Won, kali terakhir dia berhubung dengan anak bongsu daripada dua beradik itu jam 8 malam semalam melalui aplikasi ‘Whatsapp’.
Dalam perbualan selama setengah jam itu, Angie yang juga seorang jurusolek memberitahu dia dalam keadaan baik dan gembira, namun enggan memberitahu secara terperinci apa dan dengan siapa dia bersama ketika ini.
Choy Won turut bimbang anaknya itu dikawal pihak tertentu apabila anaknya itu bercakap dalam keadaan tertekan selain mengarahkan menarik semula laporan polis yang telah dibuatnya.
“Saya tanya dia sama ada dia ke sana atas urusan kerja atau apa, dia kata bukan, saya tanya berapa orang pergi, dia kata dia seorang sahaja.
“Saya beritahu dia jangan pergi sebab keadaan sana tak selamat sekarang, dia beritahu dia akan balik segera, dia kata 7 Jun dia boleh balik.
“29 smpai 31 Mei dia ada hantar gambar, tapi 31 haribulan kami ada tanya dia pergi mana, dia tak beritahu, saya ucap selamat malam tapi tak berbalas sampai 1 Jun dia hanya balas selamat pagi saja, saya sudah tak dapat hubungi dia, dia pun tak hubungi saya,” ujarnya pada sidang media bersama pengarah pendidikan politik DAP Johor, Alan Tee Boon Tsong di Ibu Pejabat DAP Johor di Kulai, hari ini.
Hadir sama abang sulung wanita berkenaan Chong Jeng Wei, 23 tahun.