KUANTAN: Seorang ibu sarat mengandung lapan bulan bersama anak lelaki yang dilapor hilang selepas tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Chendering, di sini semalam, ditemukan selamat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata Nur Nadia Mohd Zakaria, 29, dan anaknya, 4, ditemukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2 petang.
“Ibu dan anak ditemukan dalam keadaan selamat oleh anggota polis KLIA dan kini berada di Balai Polis KLIA,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, polis meminta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkaitan Nur Nadia bersama anak lelaki yang dilaporkan hilang semalam.
Berdasarkan siasatan, ibu bersama anaknya keluar rumah menaiki kereta jenis Perodua Axia berwarna biru gelap dengan nombor pendaftaran CBW 1202.
Nur Nadia juga mempunyai sejarah anxiety dan sedang mengandung lapan bulan.
Hari ini, tular di media sosial apabila dua beranak tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Chendering, di sini.
Sementara itu, kakak Nur Nadia, Adlin Mohd Zakaria, 36, berkata adik bongsu daripada enam beradik itu dikatakan ingin membeli makanan di sebuah pasar raya di Jalan Pintasan Kuantan, di sini pada jam 12 tengah hari.
Katanya, keluarganya menyedari kehilangannya selepas Nur Nadia dan anak lelaki, Aydan Noah Mohd Shahmi tidak pulang pada 5 petang dan ahli keluarga termasuk suami adik turut mencarinya.
“Bagaimanapun, adik dan anak saudara tidak ditemui termasuk kereta yang dipandunya. Kebetulan Nur Nadia tidak membawa telefon bimbit dan kami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan malam tadi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.