![](https://media.buletintv3.my/2024/09/M5FF1vqb-BULETIN-TV3-A-37.jpg)
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneliti langkah perlu untuk membantu tiga anak pembantu kedai makan yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis Jumaat lalu atas kesalahan meninggalkan bayi perempuan yang baharu dilahirkan, bulan lalu.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, siasatan perlu dijalankan bagi mengenal pasti tempat sesuai untuk menempatkan tiga kanak-kanak itu ketika ibu mereka menjalani hukuman.
Beliau berkata, walaupun difahamkan ketika ini tiga kanak-kanak terbabit dalam jagaan bapa mereka, namun KPWKM perlu meneliti sama ada lelaki itu mampu menjaga mereka kerana dia juga perlu bekerja.
“Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah berjumpa dengan suami wanita itu untuk mendapatkan maklumat lanjut apa yang boleh dibantu.
“Namun, ada perkara yang tidak boleh didedahkan dan yang penting ialah kita perlu melihat di mana anak-anak itu lebih sesuai untuk ditinggalkan (sementara ibu mereka menjalani hukuman),” katanya pada sidang media selepas majlis Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ‘Kamek Nengar Kamek Nulong’ dan Sumbangan Back To School Sesi Persekolahan 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kes seorang wanita meninggalkan bayi yang baharu dilahirkan di sebuah kedai makan dekat Sanglang, bulan lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh, Nor Zainab Jamaludin, 30, dari Kampung Permatang Bongor, Simpang Empat, Kangar, didakwa meninggalkan bayi perempuan yang baharu dilahirkannya di sebuah kedai makan di Kampung Rama, Sanglang, kira-kira 6.30 pagi pada 19 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, siasatan juga dijalankan untuk mengenal pasti sama ada wanita itu meroyan ketika membuang bayinya.
Sementara itu, Nancy berkata, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) mendapat sambutan baik masyarakat khususnya mereka yang mengalami masalah kesihatan mental akibat tekanan.
Menurutnya, sehingga kini lebih 3,000 individu termasuk pelajar sekolah di seluruh negara membuat aduan di PSSS apabila mengalami tekanan disebabkan masalah keluarga, pembelajaran atau persekitaran yang boleh mengganggu dalam jangka masa panjang.
“Malah apabila kita buka PSSS bergerak di hospital, ramai doktor serta jururawat berjumpa dengan kaunselor kami untuk mengadu masalah tekanan mental yang mereka hadapi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.