ARAU: “Dua, tiga hari sebelum pemergian Sharipuddin, ibunya banyak termenung dan tak lalu makan.”
Demikian dedah Maznah Abdullah, 68, sepupu kepada Allahyarham Sharipuddin Shaari, 53, yang maut dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam semalam.
Sharipuddin atau dikenali Din dalam kalangan keluarganya adalah pemandu kereta Nissan Almera yang menjadi salah seorang korban dalam kejadian itu.
Menurut Maznah lagi, ibu saudaranya, Hatun Bakar yang berusia sekitar 80an berkata sekiranya Sharipuddin pulang ke kediaman ibu saudaranya itu di Kampung Rani Estate, di sini, dia mahu mengikuti anaknya itu pulang ke kediaman Sharipudin di Sepang.
“Biasalah naluri ibu memang dia mahu jenguklah anaknya itu kerana bukan senang Din mahu pulang ke sini (Arau), hanya dapat berbuat demikian sekiranya ada cuti seperti cuti sekolah.”
“Memang Din sering balik ke Arau sekiranya ada cuti malah kali terakhir kami semua berkumpul bersamanya adalah ketika Aidilfitri lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Rani Estate, di sini hari ini.
Katanya, ibu saudaranya itu sering meluahkan kerinduan untuk bertemu Sharipuddin kepadanya apabila mereka bersembang setiap petang.
“Saya tanya kepada Ngah (panggilan kepada ibu saudaranya) hendak makan apa, namun dia hanya menjawab dia tidak mahu makan apa-apa tetapi teringatkan Sharipuddin sahaja.”
“Ngah cakap pada makcik yang jika dia dapat dengar suara Din pun sudah cukup bagi dia,” katanya.
Maznah berkata, keluarganya memang tidak menyangka bahawa Sharipuddin turut menjadi mangsa dalam kejadian itu.
“Malah, saya diberitahu keluarganya juga belum lagi memberitahu ibu mereka itu akan kematian Din kerana tidak mahu mengejutkan ibu mereka disebabkan ibu mereka itu mempunyai masalah jantung.”
“Jadi apa yang dibuat adalah membawa makcik Hatun ke Kuala Lumpur sahaja tanpa memberitahu tujuan sebenar mereka,” katanya.
Dia berkata, Sharipuddin meninggalkan Arau untuk menetap di Sepang selepas melihat peluang pekerjaan di Lembah Kelang itu lebih banyak.
“Din adalah seorang bekas tentera dan sebelum berlakunya pandemik Covid-19, dia banyak melakukan pelbagai pekerjaan seperti pengawal keselamatan di beberapa tempat di Perlis.”
“Namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuhkan tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk membawa keluarganya berhijrah ke Lembah Kelang kerana peluang pekerjaannya yang banyak,” katanya.
Maznah menyifatkan sepupunya itu adalah seorang yang ringan tulang dan sering membantu ahli keluarga apabila diperlukan.
“Tambahan pula dia adalah anak tunggal lelaki daripada empat adik beradik jadi memang dialah yang menjadi harapan keluarga.”
“Kehilangannya memang dirasakan termasuk kami di sini dan sesiap pun tidak menyangka bahawa Din boleh berada dalam situasi itu,” katanya.
Selain Sharipuddin, nahas berkenaan turut mengorbankan seorang rider penghantar makanan dan semua 8 penumpang pesawat ringan
jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu.