comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu dera anak ditahan, teman lelaki diburu polis

KUALA SELANGOR: Seorang wanita berusia 32 tahun ditahan polis kerana disyaki mendera anak perempuannya di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, suspek ditahan pada jam 5.14 petang, susulan laporan dibuat bekas suaminya berusia 28 tahun.

Beliau berkata, dalam laporan lelaki itu yang bekerja di kilang ikan di Sungai Besar memaklumkan mengetahui kejadian selepas diberitahu isterinya yang menerima mesej WhatsApp ibu pengadu.

“Ibu pengadu menghantar gambar anak perempuan pengadu berusia lima tahun yang dijaga oleh bekas isteri berkemungkinan didera,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Mohd Ambia berkata, lelaki itu melihat gambar anaknya mempunyai kesan lebam, bengkak dan luka seluruh badan serta kaki.

“Ibu pengadu juga memaklumkannya mengenai aduan mangsa bahawa dia dipukul ibu dan teman lelakinya,” katanya yang memaklumkan pasangan itu bercerai pada 2020 dan mangsa di bawah jagaan suspek.

Katanya, pengadu juga mendakwa pernah diberitahu ibunya bahawa guru tadika mangsa memaklumkan mengenai kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa yang disyaki akibat dera.

“Pihak tadika didakwa bertanya perkara itu kepada suspek, namun hanya diberikan alasan (mangsa) jatuh tangga.

“Mangsa dihantar pulang ke rumah ibu pengadu oleh jiran dan kanak-kanak itu didakwa menceritakan dia dipukul suspek dan teman lelakinya mencubit, menumbuk dan menyiram air panas,” katanya.

Beliau berkata, teman lelaki suspek dikatakan pernah membawa mangsa dan ibunya ke tempat tinggalnya di Yan, Kedah dan mereka pulang semula ke Kuala Selangor, Ahad lalu.

“Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Sungai Besar hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Polis kini sedang memburu teman lelaki suspek yang dipercayai berada di Kedah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini