Tumpuan :
Nasional

Ibu dakwa anak didera guru hingga trauma

Aiza Salzul Hanira Zulkapli, 42, menunjukkan laporan polis mengenai kecederaan yang dialami oleh anaknya. – Foto: NSTP

IPOH: Seorang wanita mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun mengalami trauma akibat didera seorang guru wanita di sebuah pra sekolah di Jelapang, di sini, sejak September lalu.

Aiza Salzul Hanira Zulkapli, 42, mendakwa guru berusia lingkungan 30-an itu memukul kepala, merotan, mencubit telinga dan pernah menampar pipi sehingga meninggalkan kesan lebam teruk di beberapa bahagian tubuh badan anaknya.

Menurut ibu tunggal itu, beliau sudah membuat laporan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan mengadu kepada guru besar sekolah berkenaan pada September lalu, namun mendakwa tiada tindakan diambil terhadap guru wanita itu sehingga kini.

“Walaupun aduan dibuat, anak saya memberitahu bahawa guru terbabit masih merotan dan memukul kepalanya setiap hari atas alasan tidak buat kerja rumah sehingga dia takut untuk pergi ke sekolah.

“Saya bawa berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan doktor mengesahkan anak saya mengalami ‘acute stress disorder’, selain ada kecederaan tisu lembut pada kedua-dua tapak tangan.

“Laporan SISPAA mengatakan tiada sentuhan fizikal dilakukan terhadap anak saya. Saya sedih dan hilang sabar kerana kes ini seakan ditutup,” dakwanya pada sidang media di sini, hari itu.

Turut hadir, Pengerusi parti GERAKAN Perak merangkap Naib Presiden parti itu, Chek Kwong Weng.

Aiza Salzul berkata, kecewa dengan SISPAA, beliau kemudiannya membuat tiga laporan polis masing-masing pada 8 dan 14 Disember tahun lalu serta 16 Januari berhubung kecederaan dialami anaknya.

“Saya ingin membuka mata masyarakat bahawa kes penderaan di sekolah memang wujud.

“Bukan sahaja fizikal anak yang cedera, tetapi mengganggu emosi dan menjejaskan perkembangan pelajaran anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika digunakan berkata, pihaknya akan menyemak semula laporan dibuat wanita itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini