Oleh: Nurul Amalina Zainudin
PUTRAJAYA: Seramai 96 ibu bapa melalui Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) mendesak 174 anak-anak mereka di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikembalikan ke pangkuan keluarga.
GPAAK mendakwa anak-anak mereka yang ditahan menerusi Op Global telah dirampas, ditahan, dipisahkan dan disembunyikan secara tidak sah dari segi undang-undang serta melanggar Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
Melalui 12 tuntutan yang dikemukakan GPAAK, kerajaan mesti segera memulangkan anak-anak ini kepada ibu bapa mereka kerana mendakwa sejak awal lagi ia merupakan suatu kesilapan tangkapan dan kecelaruan risikan serta siasatan di pihak polis dan JKM.
“Kerajaan mesti mengambil tindakan tatatertib ke atas pegawai polis dan JKM yang telah melakukan kesalahan menangkap dan risikan ini.
“Kerajaan mesti mengambil tindakan tatatertib ke atas pegawai JKM dan polis yang mengambil kesempatan ke atas ibu bapa yang tidak memahami undang-undang dengan memaksa, menipu atau memperdayakan mereka ini untuk menandatangani dokumen yang boleh mengakibatkan mereka didakwa di mahkamah.
“Kerajaan mesti segera membuat semakan kehakiman ke atas perintah lanjutan tahanan anak-anak ini kerana ada kemungkinan permohonan JKM kepada mahkamah untuk melanjutkan tahanan anak-anak ini dibuat menggunakan maklumat yang diambil secara menipu, memaksa dan memperdaya ibu bapa anak-anak terbabit,” kata jurucakap GPAAK, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dalam sidang media, di sini, hari ini.
Tun Faisal memaklumkan, 96 ibu bapa yang ditahan lokap selama tujuh hari enam malam itu majoritinya bukan ahli GISBH iaitu sekitar 80.2 peratus manakala selebihnya hanya 19.8 peratus.
Tambah beliau, 49 peratus daripada ibu bapa yang ditahan tiada kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) manakala 51 peratus pula adalah staf sukarelawan syarikat persendirian atau program bimbingan organisasi berkenaan.
Jumaat lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan memisahkan kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH dan ibu bapa mereka bertujuan melakukan siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan.
Ujarnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan siasatan mengikut lunas undang-undang dan fokusnya adalah eksploitasi wanita dan kanak-kanak.
Jelasnya, PDRM ketika ini menjalankan siasatan berhubung GISBH dengan cukup telus dan berhati-hati kerana ia melibatkan kepentingan awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.