Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa resah, soalan Matematik KBAT tahap kayangan

Tangkap layar luahan kekecewaan ibu bapa di media sosial, Facebook.

Oleh Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan silibus sekolah rendah kini memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) sehingga membuatkan ibu bapa sendiri tidak dapat membantu sebaiknya.

Semakan di laman sosial mendapati ramai ibu bapa meluahkan rasa kecewa dan sakit hati kerana gagal membantu anak mereka dengan sewajarnya memandangkan jurang pehaman dan pembelajaran semakin berbeza.

Bukan mahu merungut atau mengkritik dasar silibus yang ditetapkan cuma ada yang ralat dan marah kepada diri sendiri kerana gagal menjadi ibu-bapa yang mampu mengajar dikala anak bertanya soalan.

Tangkap layar luahan kekecewaan ibu bapa di media sosial, Facebook.

Malah mereka yang kami pihak Buletin TV9 temui juga resah sekiranya tidak dapat menyediakan kelas tambahan ataupun guru persendirian memandangkan faktor ekonomi semakin meningkat.

Ejen Pemasaran, Noorhafizah Zainal, berkata memandangkan dia mempunyai anak ramai dan yuran yang tinggi, dia tidak mampu menghantar anaknya ke kelas tambahan khas atau menyediakan guru tutor persendirian.

“Silibus anak-anak kini semakin sukar, saya yang mempunyai latar pendidikan yang baik pun kadang-kadang pening nak jawab soalan yang diberikan.

“Disebabkan tidak mampu menghantar mereka ke kelas tambahan khas, saya mengambil keputusan mengajar sambil belajar menggunakan kelas tutor percuma yang diadakan oleh guru matematik di media sosial seperti Facebook.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, silibus tinggi akan menyebabkan murid ketinggalan dan mengalami kesukaran untuk mengusai asas-asas matematik yang baik di peringkat sekolah rendah.

“Sekarang adalah waktu terbaik melakukan intervensi selepas pentafsiran bilik darjah dan juga ujian sesi akademik selesai, sebelum sesi persekolahan yang baru akan bermula Mac ini.

“Justeru, permohonan dan desakan ibu bapa harus dipandang serius supaya hal ini dapat diselesaikan segera selain meningkatkan lagi kemahiran guru daripada segi pengajaran dalam bilik darjah,” katanya.

Loading...
Terkini