comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa Mohd Aariz Zafran tidak menyangka ramai membantu selepas kisah tular

ADUN Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin (kiri) ketika menziarahi Mohd Aariz Zafran, 11 bulan yang menghidap paru-paru kronik dan menggunakan alat pernafasan CPAP sepanjang masa. FOTO: NSTP

KUALA KEDAH: “Syukur Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan untuk anak saya dan mencecah RM30,000 setakat ini,” kata Mohd Azlan Ishak.

Pembantu di pelantar ikan itu berusia 35 tahun itu berkata dia juga bersyukur kerana kisah yang dilaluinya membawa anak, Mohd Aariz Zafran, 11 bulan dengan menunggang motosikal ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) turut mendapat perhatian ramai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, sejak itu juga, rumahnya di Taman Kota Nelayan, di sini tidak putus dikunjungi orang ramai yang menyalurkan sumbangan selain menziarah anaknya, Mohd Aariz Zafran yang hanya bergantung pada alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) kerana menghidap penyakit paru-paru kronik.

Pengarah BBSM Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani (tiga dari kiri) dan Pembantu Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Natrah Zakaria (dua dari kanan) ketika melawat Mohd Aariz Zafran, 11 bulan yang menghidap paru-paru kronik. FOTO: NSTP

“Memang sebelum ini dalam tangan saya hanya ada RM12 tapi tak sangka pula rezeki kami melimpah selepas gambar kami tular di media sosial, Ahad lalu.”

“Kesemua wang ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk membiayai kos rawatan anak saya berulang alik ke HSB dan dalam keadaan cuaca tidak menentu ini, saya akan ambil kenderaan e-hailing untuk ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Isterinya, Norhidayu Halim, 35, berkata ada individu yang menghubunginya dan memaklumkan mahu menghadiahkan kereta untuk kegunaan mereka kerana simpati melihat keadaan Mohd Aariz Zafran.

Katanya, ramai yang masih menghubungi mereka untuk memberi sumbangan kerana simpati dengan nasib Mohd Aariz Zafran.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin yang menziarahi tiga beranak itu hari ini turut menyampaikan sumbangan kepada Mohd Azlan untuk meringankan beban mereka.

Mohd Salleh berkata beliau yakin kerajaan negeri juga tidak akan meminggirkan kes Mohd Azlan dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan di kawasan ini.

Dalam pada itu, Pembantu Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Natrah Zakaria berkata pihaknya sudah menyediakan borang yang perlu dilengkapkan pasangan berkenaan untuk memudahkan proses bantuan bulanan diperolehi.

Beliau berkata pihaknya juga akan memberi Bantuan Tabung Segera sebanyak RM300 dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, Pengarah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BBSM) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani berkata pihaknya hadir ke rumah Mohd Azlan adalah untuk meninjau keadaan keluarga itu dan bersedia untuk membantu jika pasangan itu memerlukan perkhidmatan ambulan untuk menghantar anak mereka ke hospital.

“Kami bersedia untuk membantu kes-kes khas seperti ini terutama mereka yang tidak mampu dan akan memberi perkhidmatan menggunakan ambulan kami ke hospital.”

Menurut Shamsul Bahar, pihaknya juga menawarkan kepada masyarakat yang tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan di Kedah supaya menghubungi BBSM Kedah di talian 04-720 9980.

Media sebelum ini melaporkan kisah pasangan suami isteri yang tular di media sosial kerana membawa anak mereka yang memakai alat pernafasan menaiki motosikal ke hospital.

Video itu pantas mendapat perhatian ramai nitezen termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Anwar menerusi setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini