comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa mangsa tragedi basikal lajak akur biarpun kecewa

Gambar fail, Fatimah Nasir, 49, bersama Allahyarham anaknya, Mohamad Azrie Danish Zulkefli.

JOHOR BAHRU: ‘Memang kecewa’, demikian luahan ibu bapa mangsa tragedi basikal lajak pada 2017  terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan kerani, Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga mengorbankan lapan remaja.

Apa pun bagi Fatimah Nasir, 49, ibu kepada seorang mangsa Mohamad Azrie Danish Zulkefli, berkata keluarga mereka reda dengan keputusan itu walaupun akan kekal dihantui tragedi berkenaan selama-lamanya.

“Saya dan keluarga mangsa yang lain memang sudah jangka Sam Ke Ting akan dibebaskan apabila ia dibawa ke Mahkamah Rayuan. Tak boleh nak cakap apa dah sebenarnya, memang kecewa namun kami perlu akur, reda dan meneruskan kehidupan.

“Apa pun yang berlaku yang akan disalahkan adalah ibu bapa mangsa. Kami dikatakan tidak pandai jaga anak dan tak tahu tanggungjawab kerana biarkan anak bermain basikal sampai awal pagi, padahal kalau kami tahu, sudah tentu kami tidak benarkan.

“Memang terkilan dan sedih apabila dicerca orang ramai. Mana ada ibu bapa yang tidak sayang dan biarkan sahaja anak sahaja. Ini ujian kami dan biarlah kami tanggung,” katanya ketika dihubungi.

Bapa Mohamad Azrie iaitu Zulkefli Sarkam, 49, pula berkata, keluarga mangsa mengalami kesedihan dan trauma berpanjangan setiap kali kes ini dibawa ke mahkamah

“Saya yakin Ke Ting juga ada perasaan sesal dan turut dihantui tragedi itu seumur hidup. Biarlah kami dan Ke Ting rawat emosi kami dan teruskan hidup,” katanya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail hari ini, membuat keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting, tahun lalu.

Selain Mohamad Azrie, tujuh remaja lain yang turut maut dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017 itu adalah Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16 .

Loading...
Terkini