comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa Ku Adib Aizad tiba dari Makkah

SUNGAI BULOH: Ibu bapa kepada Allahyarham Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, tiba dari Jeddah, sebentar tadi bagi melihat jenazah anak sulung mereka buat kali terakhir.

Sebaik tiba di pekarangan rumah, Penolong Pengarang Berita BH, Hafizah Iszahanid dilihat menerpa ke arah jenazah anak lelakinya yang dibawa pulang ke rumah kira-kira jam 4.30 petang.

Jenazah Ku Adib Aizab akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Aliyah di Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor.

Terdahulu, bapa Ku Adib, Ku Azmi Saad mengetuai solat jenazah sebaik tiba dan melihat jenazah anaknya di Masjid AnNur Saujana Utama selepas Asar, diiringi lebih 1,000 orang.

Ku Azmi adalah kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), sebuah syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Terdahulu, keluarga Ku Adib Aizab tiba di Unit Forensik Hospital Dungun jam 12 tengah malam tadi diikuti keluarga Khairil Anuar jam 3.30 pagi dan keluarga Muhammad Akhmal jam 5 pagi tadi.

Yang turut hadir mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof Dr Sazili Shahibi dan Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof Dr Mazidah Puteh.

Dalam kejadian jam 7.20 malam, Honda CRV dipandu seorang wanita merempuh dua motosikal yang ditunggang semua mangsa dari arah belakang.

Rempuhan itu menyebabkan ketiga-ketiga mangsa maut di tempat kejadian sementara seorang rakan mereka, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20, cedera pada bahagian belakang dan dirawat di Hospital Dungun.

Ketika kejadian, semua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam di sebuah kedai tidak jauh dari tempat kejadian.

Berikutan kejadian itu, polis menahan pemandu SUV terbabit berusia 49 tahun dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, untuk perintah tahanan reman.

Ketika nahas menimpa anak mereka, pasangan itu dalam penerbangan ke Makkah untuk mengerjakan umrah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024 Media Prima Bhd membabitkan 127 peserta daripada kalangan kakitangan dan ahli keluarga.

Pesawat rombongan umrah itu berlepas dari KLIA jam 5.35 petang semalam dan sampai Jeddah jam 9.15 malam tadi (waktu tempatan).
Pasangan itu dalam penerbangan pulang semula ke Kuala Lumpur. Mereka berlepas dari Jeddah jam 1.55 pagi waktu tempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini