comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu bapa cuai boleh didakwa

Keadaan rumah yang hangus terbakar menyebabkan dua beradik, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10 dan adik lelakinya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, rentung. – Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu mendapatkan laporan polis sebelum menentukan sama ada ibu bapa mangsa melakukan kecuaian hingga menyebabkan mangsa maut dalam kebakaran di rumah mereka.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung kebakaran itu untuk sama ada ibu bapa mangsa melakukan kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana cuai.

“Kita sedang menunggu laporan daripada polis sebelum kita dapat mengesahkan status ibu bapa berkenaan,” katanya kepada BH.

Beliau ditanya mengenai kejadian kebakaran yang mengorbankan nyawa dua beradik, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10 dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, di rumah mereka di Kampung Simpang Tiga, awal pagi tadi, termasuk sama ada ibu bapa mangsa boleh didakwa akibat kecuaian.

Dalam kebakaran kira-kira jam 3.30 pagi tadi, mayat dua beradik itu ditemukan rentung dalam bilik utama kediaman berkenaan.

Menurut ahli keluarga, ibu bapa mangsa dilaporkan tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar makan.

Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) menggariskan mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak.

Seksyen 31(1)(a) menyatakan adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Mengenai langkah yang boleh diambil untuk memastikan kejadian sama tidak berulang, Nancy berkata, undang-undang sedia ada perlu diperketat, termasuk yang bukan di bawah bidang kuasa KPWKM.

Katanya, kementerian itu terbuka untuk bekerjasama dengan kementerian lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selain itu, KPWKM akan berusaha untuk menggalakkan pemerkasan komuniti supaya jiran tetangga dan sukarelawan mengambil tindakan yang dapat mengelakkan perkara seperti ini berlaku,” katanya.- Berita Harian

Loading...
Terkini