comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ibu, anak maut dalam nahas empat kenderaan

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Pasangan ibu dan anak maut dalam satu kemalangan apabila kereta jenis perodua Bezza dinaiki dipercayai dirempuh sebuah lori tanah di Jalan Kolon, Pokok Sena di sini, pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Romadiah Ismail, 65 tahun dan Nadzifah Abu Seman, 28 tahun terlibat dalam nahas pada sekitar 9.55 pagi membabitkan 2 lagi kenderaan, iaitu Perodua Axia dan Toyota Hilux.

Seorang mangsa yang parah dikenali sebagai Nur Fathi Rahman, 26 tahun manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera ringan namun belum dikenalpasti identitinya.
Menurut saksi, Abdul Hafiz Abdul Rahman, lori tanah 10 tan terbabit dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh tiga kenderaan terbabit.

“Mangsa dibawa keluar oleh pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan pihak polis. Apa status mangsa, saya kurang pasti kerana kejadian baru berlaku ketika saya tiba di lokasi.”

“Yang saya dapat lihat, lori yang terbabas menghala dari Jabi ke Pokok Sena manakala kenderaan lain semuanya berada di laluan bertentangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminudin Abdul Rahim dalam satu kenyataan memaklumkan, terdapat tiga mangsa tersepit dalam dua kenderaan dan kesemua mangsa dikeluarkan dengan peralatan khas.

Tindakan bomba seterusnya adalah melakukan kerja pembersihan jalan.

Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Sementara mangsa yang cedera dihantar untuk menerima rawatan.

Loading...
Terkini