Tumpuan :
Nasional

Ibu, anak dalam kandungan 8 bulan maut langgar tembok rumah

Perodua Myvi terbabas dan melanggar tembok di sebuah rumah dekat Kampung Melayu, di Kluang Johor, 2.15 petang semalam dan korbankan ibu dan anak sarat dikandung 8 bulan. – Foto tular

KLUANG: Anak dikandung lapan bulan maut semalam dan hari ini ibunya pula menyusul.

Pemergian menyayat hati itu berlaku selepas Siti Aisyah Haron, 32, yang memandu Perodua Myvi terbabas dan melanggar tembok di sebuah rumah dekat Kampung Melayu, di sini, 2.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketika kejadian mangsa bersama rakannya dalam perjalanan menuju ke arah bandar Kluang.

“Semalam lebih kurang 8 malam, anak dalam kandungan yang berumur 35 minggu telah dikeluarkan kerana disahkan meninggal dalam kandungan.

“Hari ini lebih kurang 1.59 petang, ibunya pula iaitu Siti Aisyah Harun telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Foto tular

“Mangsa disahkan maut akibat pendarahan dalaman termasuk kecederaan pada pankreas dan hati,” katanya laporan polis kemalangan itu dibuat oleh adik kandung allahyarham, Ammar, 30 tahun pada 4.11 petang tadi.

Beliau berkata, rakan mangsa, Siti Aishah Rahimi, 28, yang juga ejen hartanah cedera ringan dan menerima rawatan di HEBHK.

Bahrin berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Perodua Myvi berkenaan telah dialihkan dari tempat kejadian semasa pegawai penyiasat menjalankan siasatan kerana tiada sebarang maklumat awal mengenai kes berkenaan.

“Menurut maklumat daripada pengadu, Perodua Myvi berkenaan dari Kampung Melayu menghala ke arah bandar Kluang semasa kejadian.

“Sampai di tempat kejadian, pemandunya telah hilang kawalan lalu melanggar tembok pagar rumah yang berada di tepi jalan.

“Pemandu dan penumpang telah dibawa ke HEBHK menaiki ambulans selepas kejadian,” katanya.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, kes berkenaan tular di media sosial dan mengundang simpati orang ramai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini