Tumpuan :
Nasional

Ibu, anak cedera kereta dihempap pokok tumbang di Bukit Bintang

Anggota bomba dan penyelamat membersihkan kesan pokok tumbang selepas mengalihkan kereta mangsa.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita bersama anak perempuannya cedera apabila kereta yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang berhampiran sebuah bangunan pejabat di Jalan Pudu-Bukit Bintang di sini, hari ini.

Mangsa yang masing-masing berusia 39 tahun dan 15 tahun berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas terperangkap di dalam sebuah kereta jenis Honda City.

Komander Operasinya, Md Izzat Ahmad berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian pada jam 10.44 pagi.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah serta Pudu membabitkan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan yang tiba di lokasi memaklumkan terdapat pokok tumbang menghalang jalan raya dan menghempap sebuah kereta.

“Kejadian membabitkan dua mangsa iaitu seorang wanita dan seorang remaja perempuan mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.

Katanya, bomba dibantu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemudian menjalankan kerja pembersihan dan memotong pokok yang menghalang laluan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini