![](https://media.buletintv3.my/2025/02/KEMALANGAN.jpg)
Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
HULU TERENGGANU: Seorang ibu dan anak perempuannya maut dalam kemalangan di Kampung Kepah, Kuala Berang, kira-kira jam 11.55 pagi tadi.
Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Nur Saidatul Aishah Zakari, 36 tahun, dan anaknya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd Khairul, 12 tahun.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Seorang lagi anak perempuan mangsa, Tun Nur Ufaira Afifa Tun Mohd Khairul, berusia 9 tahun, mengalami kecederaan dalaman, selain patah tangan dan kaki.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/ACCIDENT.jpg)
Dia kini menerima rawatan lanjut di Hospital Hulu Terengganu.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu Ahmad Amri Ayob, 19 tahun, dari Kuala Jeneris menuju Kuala Berang hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar motosikal Yamaha Ego Solaris yang dinaiki oleh mangsa bersama dua anak perempuannya dari arah bertentangan.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Saharudin Abdul Wahab, mengesahkan kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.