BATU PAHAT: “Anak saya ditidurkan kerana kecederaan teruk dialaminya,” kata Subidah Tumin, 68, ibu kepada salah seorang mangsa melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru, Sri Gading, di sini, semalam.
Syarah Nurul Mastura Abdullah, 31, ditidurkan sebaik tiba di hospital pada petang hari kejadian selepas dia dilaporkan mengalami kecederaan teruk di seluruh badan.
Seorang lagi mangsa lelaki berusia 28 tahun yang turut melecur dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di sebuah hospital.
Menurut Subidah, dia tidak sempat bersua dengan Syarah kerana sebaik tiba di hospital, anaknya itu sudah ditidurkan.
“Saya nampak badan sudah berbalut, dan muka serta anggota lain memang cedera teruk. Memang dia boleh dikatakan terbakar seluruh badan.
“Berkenaan kebakaran itu, saya belum dapat maklumat lanjut mengenai puncanya berlaku buat masa ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, ibu saudara Syarah, Suhana Tumin, 52, berkata, dia menyedari kejadian itu berlaku selepas anak sulungnya, Ryan Mohd Nazri, 7, berlari ke rumahnya memaklumkan rumah mereka terbakar.
Menurut Suhana, secara kebetulan dia masak juadah berbuka lebih awal dan siap pada jam 4.30 petang sebelum Ryan berlari sambil menjerit memberitahu rumahnya terbakar.
Katanya, sewaktu kejadian, Ryan bersama dua adiknya sedang tidur di ruang tamu dengan kebakaran bermula dari sebuah bilik yang didiami ibunya.
“Ryan cakap ‘nenek… rumah terbakar’, mula-mula saya tak faham sebab dia pelat. Bila dengar suara ayah panggil nama dia, saya keluar tengok kawasan rumahnya sudah hitam.
“Kemudian, saya lihat bapa Ryan dukung dua adiknya berusia enam dan empat tahun, bawa ke sini dan saya terus telefon bomba.
“Sementara menunggu bomba, api sudah menjulang dan beberapa letupan kedengaran dengan orang kampung mula datang beramai-ramai membantu memadam api.
“Mujurlah mereka (orang kampung) pantas dan ada juga yang membawa alat pemadam kebakaran. Mereka angkut air parit di hadapan rumah untuk elak api semakin membesar,” katanya.
Katanya lagi, tiga beradik itu kini dijaga nenek yang lain di Parit Yusuf, Parit Sulong buat sementara waktu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.