Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Hutang peneroka diselesai sejak 2021, geran RM990 juta untuk kelangsungan kewangan FELDA

KUALA LUMPUR: Penghapusan sejumlah hutang peneroka FELDA sudah dilaksanakan di peringkat badan berkanun itu pada 2021 dan 2022 tanpa penyaluran peruntukan geran daripada Kerajaan Persekutuan.

FELDA dalam kenyataan hari ini menjelaskan, jumlah pelupusan hutang peneroka yang dibuat sebelum ini sudah memberikan impak besar kepada aliran tunai dan prestasi FELDA.

Katanya, sebagai langkah membantu dan menjamin kelangsungan FELDA, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lalu sudah menandatangani perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) bagi penerimaan pertama geran RM990 juta dari kerajaan untuk penebusan sukuk FELDA.

Artikel berkaitan: Dokumen Anwar tidak buktikan pelupusan hutang FELDA dibuat Jun

“Perjanjian itu antara lain memberikan ruang kepada FELDA untuk menstruktur semula komitmen kewangan terhadap kadar faedah yang dikenakan serta pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

“FELDA menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas komitmen bagi menyempurnakan proses pemulihan FELDA demi menjamin kelangsungan sebagai satu institusi gergasi yang menaungi 112,638 keluarga peneroka di seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, FELDA menjelaskan, Perdana Menteri ketika Sambutan Hari Peneroka FELDA pada 7 Julai lalu mengumumkan bermula tahun ini, Kerajaan Perpaduan sudah meluluskan peruntukan sehingga RM990 juta setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk FELDA yang antara lainnya bagi membiayai hapus kira hutang peneroka FELDA.

“Secara keseluruhan inisiatif ini melibatkan bantuan kewangan kepada FELDA sebanyak RM9.9 bilion bagi tempoh 10 tahun.

“Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri sudah disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan janji kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion,” katanya.

Artikel berkaitan: Isu pelupusan hutang FELDA perlu ke Parlimen

Pada 7 Julai lalu, sempena Hari Peneroka, Anwar mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin kemudian menafikan dakwaan Anwar dengan menyatakan pelupusan hutang peneroka sudah diselesaikan ketika pentadbirannya, dengan Ahli Parlimen Pagoh itu juga menuntut Anwar membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pagi tadi juga mengesahkan perjanjian FSRA itu sudah ditandatangani oleh Anwar pada 26 Jun lalu.

MOF menjelaskan, perjanjian itu membabitkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada FELDA untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan FELDA.

Loading...
Terkini