Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan berjaya mewartakan seluas 68.281 hektar kawasan Hutan Paya Bakau Kina Benuwa di Labuan sebagai hutan simpanan kekal (HSK) dinamakan sebagai Hutan Simpan Kina Benuwa.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, HSK itu diwartakan pada 11 Julai lalu dan yang pertama diwartakan di Wilayah Persekutuan Labuan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
“Ini merupakan HSK pertama di Wilayah Persekutuan daripada jenis hutan paya laut. Ini menjadikan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan meningkat daripada 84.62 hektar kepada 152.901 hektar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Tahun 2023.
Susulan pewartaan HSK baharu, jelas Nik Nazmi, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Ikim (NRECC) akan terus meningkatkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Labuan dalam pengurusan Hutan Simpan Kina Benuwa.
NRECC juga ujarnya, mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama strategik dan penajaan daripada badan korporat untuk menjalankan aktiviti restorasi di kawasan Hutan Simpan Kina Benuwa dan kawasan hutan paya laut di seluruh negara.
Mengulas Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa yang disambut pada 26 Julai setiap tahun, Nik Nazmi memberitahu, sambutan itu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut bagi memastikan kelangsungan peranan serta sumbangannya kepada kesejahteraan masyarakat sejagat.
Menurut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), walaupun spesies hutan paya laut boleh dijumpai di 123 negara di seluruh dunia, ia hanya mewakili kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan hutan tropika di dunia dan kurang daripada 0.4 peratus daripada keseluruhan hutan di dunia.
Nik Nazmi berkata, hutan paya laut adalah ekosistem tropika yang amat unik dan mengandungi kepelbagaian biologi khususnya bagi pembiakan hidupan marin, serta bertindak sebagai zon penampan bagi melindungi kawasan pesisir pantai daripada hakisan tanah, impak pukulan ombak yang kuat dan angin kencang.
Peranan ekosistem hutan paya laut pada ketika ini bertambah penting dan telah dikenal pasti di peringkat dunia sebagai penyerap karbon yang amat efisien.
Kehilangan kawasan hutan paya laut boleh memberi kesan secara langsung kepada masyarakat setempat terutama penduduk di pesisir pantai yang bergantung kepada sumber marin sebagai sumber pendapatan.
Kemusnahan hutan paya laut berikutan tekanan pembangunan seperti aktiviti akuakultur, pertanian serta pencemaran tidak terkawal turut menyebabkan kehilangan ekosistem tersebut.
“Malaysia amat bertuah kerana berupaya mengekalkan kawasan hutan paya laut seluas 629,038 hektar, iaitu 3.44 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di seluruh negara.
“Hutan paya laut diuruskan secara sistematik di negara ini bermula tahun 1905 di Larut Matang, Perak dan diiktiraf sebagai salah satu model pengurusan hutan paya laut terbaik di dunia.
“Selain itu, enam daripada tujuh tapak Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (RAMSAR) di Malaysia terdiri daripada kawasan hutan paya laut berkepentingan antarabangsa terutamanya sebagai habitat unggas air,” katanya.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, inisiatif memelihara dan memulihara kawasan hutan paya laut dilaksanakan di negara ini melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara sejak 2005, iaitu selepas tragedi tsunami pada 26 Disember 2004.
Sehingga tahun lalu, sejumlah 3,273.34 hektar kawasan pesisir pantai di seluruh negara telah ditanam dengan pokok bakau dan spesies hutan pesisir pantai terpilih melibatkan penanaman sebanyak 7,196,996 pokok.
“Di peringkat Kerajaan Persekutuan, aspek pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut terus diberikan perhatian dan diperkukuhkan, selaras dengan Rancangan Fizikal Zon Pesisir Pantai Negara II yang dikeluarkan oleh PLANMalaysia,” katanya.