comscore
Tumpuan :
Nasional

Hutan Lipur Lata Bayu ditutup sementara, terdapat kes jangkitan kencing tikus

Hutan liput Lata Bayu, di Baling ditutup sementara selepas dua pengunjung disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus.

BALING: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menutup pusat rekreasi hutan lipur Lata Bayu, Asam Jawa dekat sini, mulai semalam selepas mendapati kawasan itu dikesan dijangkiti penyakit kencing tikus.

Pengarahnya, Muhammad Abdullah berkata, pihaknya telah menutup pagar dan meletakkan tali amaran bagi mengelak pengunjung berkunjung ke kawasan itu.

Beliau berkata, hutan lipur itu ditutup sehingga keadaan kembali pulih dan disahkan selamat oleh pejabat kesihatan daerah.

“Kita sudah tutup semalam bagi mengelakkan pengunjung berkunjung sehingga keadaan pulih dan selamat.

“Kita berharap tidak ada pengunjung yang ceroboh masuk kerana amaran telah dikeluarkan malah pintu pagar telah ditutup,” katanya.

Katanya, semalam hutan lipur itu dikunjungi beberapa pengunjung yang mungkin tidak tahu ia telah ditutup sebab tanda amaran diletakkan di kawasan itu, pagi semalam telah dibuang individu tidak bertanggungjawab.

Pusat peranginan itu ditutup sementara ekoran dua mangsa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi ( ICU ) di sebuah hospital di Kedah, akibat dijangkiti penyakit kencing tikus, selepas berlibur di hutan lipur, di situ.

Tinjauan petang tadi, mendapati pusat rekreasi itu telah ditutup dan tidak nampak kelibat orang ramai ke situ malah gerai peniaga juga ditutup.

Susulan kes penyakit itu, pegawai dari Jabatan Kesihatan Daerah Baling telah diarahkan melakukan pemantauan dan pendidikan kesihatan di pusat rekreasi itu.

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya, berkata kes jangkitan itu dilaporkan kelmarin oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling.

Beliau berkata, arahan penutupan sementara dikeluarkan Jabatan Perhutanan Kedah, untuk siasatan kes dan aktiviti pencegahan seterusnya.

“Ada kes leptospirosis (kencing tikus) yang mempunyai sejarah mandi di Lata Bayu di laporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling.

“Demi menjaga kesihatan dan keselamatan orang awam yang berkunjung ke kawasan rekreasi ini, Lata Bayu akan ditutup sementara untuk siasatan kes serta aktiviti pencegahan seterusnya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pengunjung yang telah mandi di situ dan mempunyai tanda-tanda seperti demam, sakit badan, sakit kepala, muntah, cirit birit, sakit perut, jaundis, mata kemerahan dikehendaki mendapat rawatan segera di klinik atau hospital yang berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini