comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Hukuman lebih berat kepada pendera kanak-kanak

Datuk Seri Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menilai dasar semasa membabitkan kanak-kanak dan melakukan penambahbaikan menyeluruh.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ia termasuklah dari segi aspek perlindungan, pemantauan serta pembangunan sosial kanak-kanak di negara ini.

“Dengan perkembangan terbaru ini, KPWKM juga akan meneroka segala kemungkinan untuk memperkemas faktor pencegahan.

“Ini termasuklah seperti keperluan hukuman yang lebih tegas dan berat kepada pesalah supaya kes penderaan sebegini tidak berulang lagi selain sebagai pengajaran kepada ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam memberi jagaan yang terbaik kepada kanak- kanak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain kecedaraan fizikal, kes penderaan kanak-kanak juga boleh menyebabkan implikasi kesihatan mental yang berpanjangan seperti kemurungan, lebih-lebih lagi bagi mangsa kes yang tidak dilaporkan dan kekal tersembunyi.

Justeru katanya, orang ramai yang mengetahui tentang penderaan kanak-kanak yang berlaku diseru supaya tidak mengabaikannya dan memaklumkan kepada KPWKM melalui Talian Kasih di talian 15999; nombor WhatsApp 019-2615999 atau menghubungi pihak berkuasa dengan segera.

“Saya percaya kita rakyat Malaysia adalah penyayang, prihatin dan lebih baik daripada apa yang terjadi dalam kes seperti ini.

“Bersamalah kita memainkan peranan dalam mencurahkan kasih sayang dan memberi perlindungan sewajarnya kepada kanak-kanak demi kesejahteraan keluarga, keharmonian masyarakat dan kemajuan negara,” katanya.

Terdahulu Nancy berkata, beliau sedih dan memandang serius terhadap kes membabitkan seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai didera sehingga meninggal dunia di Johor baru-baru ini.

Oleh itu beliau sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk segera menyiasat dan menyediakan laporan dengan lebih terperinci berhubung kronologi, sejarah serta setiap perkembangan kes itu sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kejadian tersebut.

“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan terhadap kes ini dan saya memberikan jaminan bahawa KPWKM serta agensi di bawahnya akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan tersebut,” katanya.

Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat pengsan di rumahnya dekat Senggarang, Batu Pahat.

Hasil siasatan awal polis mendapati kematian kanak-kanak itu dipercayai akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baru dan lama di seluruh tubuh badannya.

Antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesancucuhan api atau benda panas di seluruh badan mangsa, termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.

Loading...
Terkini