Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk memperketat undang-undang sedia ada dengan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan aksi berbahaya dan lumba haram.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata draf pindaan melibatkan Akta Pengangkutan 1987 itu telah dibawa ke peringkat Jabatan Peguam Negara.
“Langkah ini bagi memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi satu bentuk deteren dan pencegahan kepada pelaku.
“Selain itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama bagi melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, dalam usaha mencegah aktiviti berbahaya berkenaan, JPJ serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang meningkatkan pemantauan di media sosial bagi mengesan lokasi panas yang sering menjadi tempat pengumpulan geng ‘mat rempit’, bagi tujuan pengesanan dan pengumpulan bukti.
Tambah Hasbi, kementeriannya juga sedang muktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewujudkan tafsiran jelas berhubung isu mat rempit yang merangkumi kesalahan menunggang motosikal secara melulu, membahayakan atau perlumbaan haram di atas jalan raya.
Pindaan itu katanya, bertujuan menjadi satu bentuk pencegahan kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti berbahaya itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.