Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju dengan cadangan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk laksanakan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan buang sampah kecil melalui pindaan undang-undang.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, pihaknya telah mengemukakan memorandum dan perkara itu akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada Mac tahun hadapan.
“Hal ini demikian kerana isu pembuangan sampah kecil merata-rata masih menjadi kebimbangan walaupun Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan dalam usaha menuju status negara maju.
“Secara prinsip dengan cadangan pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah kecil yang akan dikuatkuasakan di bawah Akta Pengurusan, Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171],” katanya semasa sidang media Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2024, malam ini.
KPKT telah menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta 672, RUU Pindaan Akta 133 dan RUU Pindaan Akta 171.
Katanya, tanggungjawab pembersih diletakkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan dan pengenalan denda oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini tidak lagi menjadi halangan (deterrent) kepada pesalah untuk tidak mengulangi tabiat membuang sampah kecil merata-rata.
Justeru, hukuman itu bertujuan memberi penginsafan dan kesedaran kepada pesalah dimana pesalah dikehendaki memakai jaket khas dan menjalani hukuman mengikut tempoh jam agregat yang ditetapkan.
Aktiviti yang akan dilaksanakan di bawah program khidmat masyarakat itu merupakan sumbangan balik pesalah kepada alam sekitar yang dapat memberikan manfaat dan seterusnya menyokong hasrat Kerajaan dalam mewujudkan negara yang lebih bersih, indah dan sejahtera.
Mengulas mengenai penambahan kamera litar tertutup (CCTV), katanya peranti itu akan ditambah di kawasan strategik bagi memantau pesalah dan mengekang isu pembuangan sampah kecil berkenaan sekaligus bertujuan untuk menjaga keselamatan orang ramai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.