comscore
Tumpuan :
Nasional

Hukuman ke atas Stampa bukti jelas tuntutan libatkan Sabah tidak berasas – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis perjanjian antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel Sabah) di Kota Kinabalu.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Hukuman penjara enam bulan ke atas Penimbang Tara Gonzalo Stampa merupakan bukti jelas bahawa tuntutan kumpulan Sulu ke atas Sabah tidak berasas.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini juga kerana terdapat unsur-unsur mencari keuntungan serta kemudahan lain dalam tuntutan oleh kumpulan itu yang mana Stampa bertindak selaku penimbang tara.

Hajiji berharap agar tiada lagi pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan negeri Sabah dalam melakukan apa-apa tuntutan tidak berasas sepertimana dilakukan kumpulan Sulu itu.

“Berbanyak terima kasih kepada Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)) dan kerajaan persekutuan kerana terbukti tuntutan kumpulan Sulu ini tidak berasas.”

“Kita rakyat, negeri dan kerajaan Sabah gembira dengar berita ini. Kita harap mudah mudahan (tiada lagi pihak buat tuntutan tidak berasas sedemikian),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Menara Kinabalu selepas hadir menyaksikan perjanjian antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dengan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel Sabah) bagi pembekalan gas asli sebanyak 150 juta kaki padu sehari.

Peguam Sepanyol, Stampa didapati bersalah kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi perintah awal mahkamah negara itu yang mengarahkannya supaya menggugurkan kes itu.

Berdasarkan keputusan oleh Mahkamah Madrid pada 5 Januari lalu itu dan mula diedarkan kepada umum semalam, Stampa turut dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan digantung daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun.

Menurut hakim Mahkamah Madrid, perintah awal mahkamah yang melarang Stampa daripada bertindak selaku penimbang tara tidak boleh disangkal.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata usaha kerajaan menoktahkan tuntutan kumpulan Sulu dan terbaharu Stampa dijatuhi hukuman penjara itu amat membantu dalam usaha menarik lebih ramai pelabur ke Sabah.

Beliau berkata tuntutan dilakukan kumpulan itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan keselamatan untuk pelabur terutama dalam melabur di kawasan pantai timur Sabah.

Justeru kejayaan demi kejayaan dicapai Malaysia dalam tuntutan itu membolehkan keyakinan itu dikembalikan semula.

“Bila saya ke Jepun ada bertanya ada keselamatan yang baik atau tidak (di pantai timur Sabah). Jadi cabaran itu ada. Jadi saya harap Datuk Seri Azalina dapat mencari penyelesaian mutlak dalam isu tuntutan ini supaya nanti ia akan mengurangkan seterusnya menghapuskan kebimbangan keselamatan di sana.”

“Jadi kita boleh tarik lebih ramai pelabur terutama dari luar negara untuk datang ke pantai timur Sabah, yang mana pantai barat Sabah kita banyak dapat maklumbalas positif tetapi pantai timur kita perlu kerja lebih keras lagi (tarik pelabur),” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini