
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang disabitkan kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, menerima rayuan akhir semua perayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Enam bekas pelajar yang terlibat, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, kini berusia 29 tahun, masing-masing membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Mahkamah Persekutuan sebaliknya mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap mereka mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Pada 23 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas menerima rayuan pendakwaan untuk menghidupkan semula pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berbanding keputusan asal Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara.
Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun setelah mendapati keenam-enam tertuduh bersalah menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.