Tumpuan :
Nasional

Hujan sejak semalam di Kedah, APM berusaha bawa keluar mangsa

Anggota APM Padang Terap mengusung mangsa yang terjejas selepas kediamannya dilanda banjir hari ini. – Foto ihsan APM

ALOR SETAR: Dua daerah di negeri ini terjejas akibat banjir susulan hujan lebat sejak semalam.

Bagaimanapun, setakat ini hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kubang Pasu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.

Mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah Padang Terap ditempatkan di Dewan Kampung Baru, Padang Sanai.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Roshidi Kassim, berkata setakat ini seramai 32 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di dewan itu selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir hari ini.

Beliau tujuh lokasi di Padang Terap dinaiki air iaitu Kampung Labi di Mukim Tualak, Kampung Tanjung Kanan (Mukim Padang Terap Kanan), Kampung Seberang Padang Sanai, Kampung Baru Padang Sanai, Kampung Banggol 9 Dan Balai Polis Padang Sanai di Mukim Batang Tunggang Kiri.

“Selain itu, Kampung Kubang Juluk di Mukim Tekai Kanan turut dinaiki air.

“Bagaimanapun, 27 penduduk daripada lapan keluarga di Kampung Baru Padang Sanai dan lima penduduk dari sebuah Kampung Banggol 9, Padang Sanai ditempatkan sementara di dewan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Roshidi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi hari ini susulan hujan lebat yang berterusan sejak semalam.

“Proses mengeluarkan mangsa sedang dilakukan ketika ini dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, di daerah Kubang Pasu, seramai 16 mangsa daripada lima keluarga di empat kampung ditempatkan di PPS SMK Changlun selepas rumah mereka dinaiki air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, berkata antara kampung terjejas adalah Kampung Nangmah Kampung Paya Nongmi, Kampung Belakang T-Hotel, Kampung Nang Mah dan Kampung Kubang Lintah.

Beliau berkata, jumlah mangsa terdiri daripada lima lelaki dewasa, lima wanita dewasa, lima kanak-kanak dan seorang bayi perempuan.

“Operasi turut disertai pelbagai agensi termasuk pihak Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan penghulu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini