Tumpuan :
Nasional

Hujan renyai iringi pengebumian Mohamad Fahmi Hafiz

Oleh: Selwam Arjunan

KEPALA BATAS: Hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Allayarham Mohamad Fahmi Hafiz, 10, yang maut akibat tercekik gula-gula ‘gummy’ mata, malam semalam.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai dekat Penaga, di sini, kira-kira jam 3.20 petang tadi.

Jenazah disembahyangkan di masjid pada jam 2.45 petang yang dihadiri hampir 200 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan allahyarham serta penduduk setempat.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke rumah neneknya di Kampung Permatang Binjai sejurus urusan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) selesai kira- kira jam 12 tengahari tadi.

Kira-kira 50 orang termasuk ahli keluarga dan saudara mara memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke masjid untuk disolatkan.

Mohamad Fahmi Hafiz menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 11 malam semalam selepas tiga hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Pediatrik HPP.

Allayarham rebah ketika menghadiri Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain di sebuah sekolah di Sungai Dua, Butterworth kira-kira jam 2.30 petang Selasa lepas.

Anak sulung daripada dua beradik itu dilaporkan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata yang dibeli di luar sekolah.

Loading...
Terkini