IPOH: Insiden tanah runtuh berlaku di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Cameron Highlands, di sini,lewat malam tadi akibat hujan lebat.
Sehingga jam 1.34 pagi tadi, banyak kenderaan yang melalui jalan itu terkandas.
Difahamkan, kejadian runtuhan tanah itu berlaku pada jam 11.25 malam tadi di lokasi yang pernah berlaku insiden sama sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata kejadian malam tadi disebabkan jumlah aliran air permukaan yang tinggi akibat hujan lebat yang menyebabkan sisa tanah runtuh dan menuruni ke bahagian jalan.
Katanya, ia berikutan cerun sedia ada yang mengalami runtuhan itu sedang dalam proses pembaikan susulan insiden tanah runtuh yang pernah berlaku di kawasan itu sebelum ini.
“Cerun sedia ada sedang dalam proses pembaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, insiden itu jelasnya tidak mengakibatkan kerosakan kenderaan atau pengguna jalan raya.
Runtuhan itu yang pada mulanya menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan kini sudah dibuka kepada pengguna jalan raya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, dalam satu kenyataan berkata lokasi kejadian adalah tapak pembaikan cerun yang sedang dijalankan oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya,(JKR).
“Runtuhan tanah telah menutup permukaan jalan raya menyebabkan kenderaan dari kedua-dua arah tidak dapat melalui jalan itu. Tiada laporan kemalangan jiwa diterima dalam kejadian itu”, katanya.
Kira-kira jam 4.30 pagi tadi, jalan berkenaan kembali dibuka kepada semua jenis kenderaan setelah kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan selesai dijalankan pihak kontraktor.