comscore
Tumpuan :
Nasional

Hujan lebat, ribut petir dijangka melanda Malaysia Timur hingga 2 Februari – METMalaysia

Foto: Sumber X METMalaysia

PETALING JAYA: Penumpuan angin yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda kawasan Malaysia Timur sehingga 2 Februari depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, ramalan cuaca signifikan itu berdasarkan analisis model cuaca serta dijangka berlaku dalam tempoh yang lebih panjang di selatan dan pedalaman Sarawak serta timur Sabah.

Beliau berkata, MET Malaysia telah mengemaskini amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa sehingga Selasa ini.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Foto: METMalaysia/Facebook

Sementara itu dalam hantaran kenyataan berasingan di Facebook METMalaysia, pihaknya berkenaan mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora tiga kategori di beberapa kawasan bermula hari ini sehingga Selasa ini.

Katanya, amaran kategori pertama iaitu angin berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ketinggian Gombak antara 2.5 hingga 3.5 meter (m) dijangka berlaku di Tioman, Timur Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Barat Palawan sehingga Selasa.

Amaran kategori pertama juga dijangka berlaku di kawasan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga esok, manakala bagi kategori kedua iaitu angin berkelajuan 50 hingga 60kmsj dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5m dijangka membabitkan Selatan Condore dan Barat Reef North sehingga Selasa.

Bagi amaran kategori ketiga iaitu angin berkelajuan lebih 60kmsj dan ketinggian ombak lebih 4.5m dijangka berlaku di Utara Condore sehingga Selasa.

Loading...
Terkini