Oleh: Shuhadah Marzuki
PETALING JAYA: Beberapa negeri mengalami banjir kilat, susulan negara yang memasuki fasa peralihan monsun dan keadaan ini dijangka berterusan hingga April.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melalui satu kenyataan memaklumkan sepanjang fasa peralihan monsun, ribut petir yang membawa hujan lebat serta angin kencang melanda negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Cuaca buruk diramalkan berlaku pada waktu petang dan awal malam berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
MetMalaysia juga menjangkakan pada bulan November negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer per jam.
Situasi itu akan mengakibatkan beberapa siri hujan lebat di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.
Kebanyakan negeri di Semenanjung dijangkakan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100 hingga 900mm kecuali di selatan Johor.
Sementara itu kebanyakan bahagian di Sarawak dijangka menerima taburan hujan pada paras purata iaitu di antara 300 hingga 400mm kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan sebahagian dari Sarikei
Manakala kebanyakan bahagian di Sabah dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100 hingga 400mm kecuali sebahagian
kawasan di Kudat, Sandakan danTawau yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 100 hingga 250mm
Manakala pada Disember, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia diramal menerima taburan hujan pada kadar hampir samaiaitu 50 hingga 900mm.
Begitu juga di Sabah dan Sarawak antara 250 hingga 600mm.
Memasuki tahun 2024, mulai Januari hingga April purata hujan di kebanyakan kawasan sekitar Semenanjung diramal mengalami sedikit penurunan iaitu pada anggaran antara 50 hingga 450mm.
Namun di Sarawak dan Sabah purata taburan hujan masih lagi tinggi iaitu masing-masing antara 450 hingga 950mm dan 100 hingga 350mm.
Keadaan ini dikatakan akan berterusan hingga bulan April.