PETALING JAYA: Hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, Ampang.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, kejadian tanah runtuh dilihat berlaku berhampiran kawasan perumahan penduduk.
Video itu turut memaparkan aliran air deras dari atas bukit yang menyebabkan beberapa pokok tumbang berhampiran rumah dan kenderaan milik penduduk.
Dalam pada itu, Beberapa jalan di Kuala Lumpur dinaiki air susulan hujan lebat berterusan yang bermula sejak kira-kira 8 pagi tadi termasuk di Jalan Parlimen menuju ke Bukit Aman
Turut terjejas, pekarangan kampus Universiti Malaya (UM) sehingga siren amaran dibunyikan pagi ini.
Antara kawasan terjejas termasuk di pintu utama UM dan jalan berhadapan Fakulti Undang-Undang, bagaimanapun keadaan masih terkawal dan banjir di UM dilaporkan mulai surut.
Sementara itu, tular di media sosial video memaparkan sebuah tadika di Kampung Klang Gate, Klang dilanda banjir hingga menyebabkan pelajar terpaksa berdiri di atas meja sementara menunggu bantuan.
Bagaimanapun, salah seorang pengguna di Facebook memaklumkan kesemua pelajar berkenaan sudah berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari kawasan tadika berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.