Tumpuan :
Nasional

Hujan lebat akibatkan Persimpangan Kiwa banjir lagi

Persimpangan Kiwa dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi. FOTO IHSAN PEMBACA

SEPANG: Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan banjir kilat di persimpangan lampu isyarat Kiwa dari arah Cyberjaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke Bandar Baru Salak Tinggi pagi ini.

Justeru, laluan dari Kota Warisan ke KLIA dan KLIA ke Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) berdepan kesesakan lalu lintas disebabkan penutupan sementara jalan.

Menurut sumber di media sosial yang tular hari ini menyatakan penutupan jalan di persimpangan lampu isyarat itu susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan air longkang melimpah ke bahagian jalan.

Sebelum ini ramai pengguna jalan raya meluahkan rasa kurang puas hati menyatakan laluan menghubungkan Bandar Baru Salak Tinggi, KLIA, Nilai dan Dengkil ini kerap dinaiki air jika hujan lebat.

Sementara itu sumber Trafik Ibu Pejabat Polis Sepang berkata, beberapa laluan ditutup melibatkan Kota Warisan-BBST dan KLIA-Kota Warisan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dari arah Putrajaya agar menggunakan laluan keluar ke Tol Bandar Serenia untuk ke KLIA.

Manakala, dari arah Kota Warisan menggunakan laluan Depoh Ayamas untuk ke KLIA.

Susulan dari kejadian itu, Pasukan Projek FT29/FT32 telah meminta bantuan pihak polis trafik untuk mangawal keadaan lalu lintas berikutan penutupan jalan itu.

Kementerian Kerja Raya Sepang pula memaklumkan pihaknya telah meminta kerjasama Jabatan Pengairan Sepang (JPS) untuk menyemak status pam air samada berfungsi dengan baik atau tidak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini