KUALA LUMPUR: METMalaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember ini.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan,” kata METMalaysia dalam kenyataan.
Selain itu, berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula pada petang 3 Disember hingga awal pagi, 4 Disember ini.
Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh tersebut.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Lima negeri hujan lebat petang ini
Dalam kenyataan berasingan, METMalaysia berkata ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang dijangka melanda lima negeri sehingga jam 3 petang hari ini.
Ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, dan Johor.
Di Pahang, kawasan yang terlibat adalah Pekan dan Rompin manakala di Selangor, ribut petir dijangka melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat, dan Sepang.
Negeri Sembilan turut terjejas di kawasan Seremban, Port Dickson, dan Rembau.
Di Johor, kawasan yang diramalkan mengalami ribut petir adalah Segamat dan Mersing.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan aktiviti luar sehingga keadaan cuaca kembali stabil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.