Tumpuan :
Nasional

Hujan berterusan, angin kencang di Sarawak, Labuan, Sabah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan, angin kencang, dan lautan bergelora dijangka melanda Sarawak, Labuan, Sabah serta beberapa kawasan di Laut China Selatan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ramalan cuaca itu susulan fenomena sistem tekanan rendah yang terbentuk di perairan Sarawak pada petang semalam.

“Model-model cuaca menunjukkan intensiti sistem ini berpotensi meningkat menjadi lekukan tropika dalam tempoh 24 ke 48 jam akan datang.

“Sistem ini dijangka akan bergerak ke utara menuju ke tengah Laut China Selatan, dan pada masa sama, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 24 Disember,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, MetMalaysia sudah mengemas kini amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) yang sedang berkuat kuasa sehingga esok membabitkan kawasan terbabit.

Katanya, amaran angin kencang dan laut bergelora akan berkuat kuasa sehingga 24 Disember.

“MetMalaysia akan mengemas kini nasihat dan amaran tersebut dari semasa ke semasa berdasarkan situasi terkini.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini