Tumpuan :
Nasional

Hubungan Malaysia-China tidak hanya langkaui perdagangan dan pelaburan, kefahaman budaya turut dititikberatkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. FOTO NSTP

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia dengan China tidak hanya melangkaui perdagangan dan pelaburan, sebaliknya turut menitikberatkan kepentingan memahami dan menghormati budaya serta tamadun masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa aspek unik hubungan Malaysia-China ini perlu dipupuk seiring melalui kerjasama ekonomi.

“Semasa perbualan saya dengan Presiden Xi Jin Ping, kami membincangkan bukan sahaja hubungan ekonomi, perdagangan, dan pelaburan tetapi juga keperluan untuk membina persahabatan ini berdasarkan kepercayaan dan penghormatan bersama,” katanya.

Anwar turut berkata penekanan China terhadap promosi penghormatan budaya selaras dengan prinsip inklusiviti Malaysia, yang memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai tempat di negara ini.

Beliau menjelaskan Pesta Musim Bunga yang dikenali di Malaysia sebagai Tahun Baru Cina, menjadi bukti kepada perpaduan masyarakat pelbagai budaya di Malaysia.

“Sambutan ini menyatukan rakyat daripada pelbagai komuniti, budaya, dan wilayah di seluruh Malaysia, ia mencerminkan komitmen bersama kita terhadap keharmonian dan penghargaan bersama.

“Bersama-sama, kita telah melangkaui ketidaktentuan untuk merangkul masa depan dengan kerjasama yang berkembang maju dan matlamat yang dikongsi bersama,” katanya ketika berucap di Majlis Tahun Baharu Cina dan Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 di ibu negara.

Beliau juga menekankan bahawa inisiatif tempatan seperti persembahan budaya, pemetaan projek, dan pameran kaligrafi di Melaka dan Pulau Pinang adalah contoh bagaimana Malaysia meraikan kepelbagaian tradisi.

“Acara-acara ini memupuk pertukaran budaya yang bermakna dan mengukuhkan hubungan kita, bukan sahaja dalam negara tetapi juga dengan rakan antarabangsa,” tambahnya.

Anwar yang tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sekitar jam 8.30 malam, mengenakan kemeja tradisional kaum Cina ‘Tangzhuang’ berwarna merah disambut meriah dengan kehadiran lebih 200 tetamu.

Turut mengiringi beliau adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli.

Dalam acara sama, pertunjukan dron diadakan sebagai simbolik sambutan dan menampilkan kebudayaan tradisional kaum Cina.

Semua tetamu kenamaan kemudian turut melakukan upacara menggaul Yee Sang.

Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia.

 

Loading...
Terkini