Tumpuan :
Nasional

Hubungan Malaysia-Amerika Syarikat masih baik, walaupun kita lantang menyokong Palestin – PM

Foto Fail – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bilateral dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken semalam.-FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) masih baik biarpun pendirian negara untuk kekal lantang menyuarakan isu penindasan kepada rakyat Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan meneruskan semua perkongsian komprehensif dan kerjasama termasuk mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

“Saya ingin menjelaskan bahawa hubungan Malaysia dengan AS dari segi diplomatiknya masih baik. Kita meneruskan dengan semua perkongsian komprehensif dan kerjasama termasuk pertemuan, termasuk pertemuan Menteri Luar dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

“Kerana saya sendiri mengambil masa untuk berbincang dengan Antony Blinken walaupun dia akan meninggalkan jabatan tetapi hubungan itu melibatkan pelaburan, perdagangan dan kerjasama diplomatik.” Ujarnya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, S. N. Rayer dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Tambah beliau, sebagai negara berdaulat, Malaysia juga akan terus menyuarakan keganasan yang berlaku di Gaza.

“Sebagai satu negara merdeka dan berdaulat, pendirian kita dalam isu-isu antarabangsa termasuk keganasan, kezaliman penindasan, penjajahan di Palestin dan Gaza akan terus kita suarakan dan saya tidak fikir pertimbangan ekonomi sementara sangat penting boleh menjejaskan pendirian kita atau mengurangkan atau mengekang pendirian kita dalam menyuarakan hak tuntutan keadilan buat rakyat Palestin khususnya di Gaza.

“Sepertimana kita faham Januari hingga Oktober 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat telah meningkat 29.1% kepada RM264.28 bilion iaitu peningkatan yang agak tinggi iaitu AS$57.76 bilion daripada RM204.78 bilion atau AS$45.09 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2023.

“Projek yang telah jalankan dan sedang diuruskan ialah 1,321 dengan pelaburan keseluruhannya dengan AS$39 bilion. Kita juga bimbang tentunya kena perkembangan-perkembangan terbaru termasuk tindakan terbaharu kenaikan tarif untuk Mexico, Kanada dan negara China.

“Setakat ini kita pantau dia tidak melibatkan isu dasar luar negara termasuk soal Gaza dan Palestin. Ia melibatkan soal bayaran di antara kedua negara di mana berlaku defisit seperti mana Presiden Donald Trump mengumumkan semasa kempen. Kita sekarang menjalankan semua hubungan dengan team baru setakat upaya kita.” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini