Tumpuan :
Nasional

Hubungan diplomatik, ekonomi diperkukuh, realisasi potensi ASEAN-China

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu dengan Premier Li Qiang dan Presiden Xi Jinping di China. Foto – PMO

Oleh: Afrina Romzi

BEIJING: Lawatan kerja ketiga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China berjaya memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia bersama negara tembok besar itu.

Potensi eksport mencecah RM3.2 bilion juga berjaya dijana dalam tempoh singkat sekali gus memperkukuh jaringan ekonomi yang sekian lama terpahat.

Anwar memulakan lawatannya dengan ungkapan China bukan sekadar rakan perdagangan utama, malah “sahabat yang hebat Malaysia” di pentas dunia.

“Negara China itu sambutan sangat akrab dan dianggap kita ini sebagai kawan, jadi banyak-banyak hal seperti BRICS, kerjasama dua hala, MoU, perdagangan itu diberikan perhatian,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke China.

Sewaktu pertemuan Anwar bersama pelabur berpotensi, 30 syarikat China tampil menunjukkan minat dengan potensi perdagangan dalam pelbagai bidang.

Untuk rekod, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah perdagangan mencecah RM450 bilion tahun lalu.

Peluang lawatan juga diambil Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperhebat kerjasama ekonomi dengan China bagi merealisasi potensi besar di peringkat serantau.

Dengan kesepakatan bersama China, blok ASEAN memiliki kemampuan memperkukuh saiz ekonominya menjadi antara yang terbesar di dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini