
Oleh: Mior Abdul Malek Raiyani
BAHRAIN: Hubungan baik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa memainkan peranan besar kepada pengukuhan kerjasama dua hala Malaysia-Bahrain.
Ia sekali gus membawa kemakmuran yang lebih besar kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir lawatan rasmi ke Bahrain menerima jemputan menghadap Raja Bahrain di Istana Sakhir, Manama.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Baginda atas layanan yang cukup baik oleh Kerajaan Bahrain kepada delegasi Malaysia sepanjang lawatan rasmi ini.
Sesi menghadap itu kata Anwar menjadi wadah untuk terus memperteguh hubungan akrab kedua-dua negara menerusi pelbagai bidang yang menjadi kepentingan bersama khususnya pelaburan dan perdagangan.
“Visi dan kebijaksanaan Baginda dalam memimpin pertumbuhan Bahrain menjadi inspirasi buat beliau untuk terus bekerja keras memacu Malaysia ke arah kebaikan dari segenap aspek,” katanya.
Perdana Menteri mengakhiri lawatan rasminya ke Bahrain hari ini dengan pelbagai pertemuan signifikan dan dijadual berlepas pulang ke tanah air jam 5 petang waktu tempatan atau 10 malam ini waktu Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.