comscore
Tumpuan :
Nasional

Hubungan baik PM Anwar-China beri impak positif TVET negara – Ahmad Zahid

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Hubungan baik yang sedia terjalin di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan tertinggi China memberi impak positif dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi optimis Kerajaan China akan menambah kuota peserta di dalam Program Malaysia-China Youth-TVET Training (MCYTT) pada tahun depan.

“Saya yakin hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang, saya fikirlah dalam hati dan minda saya, tahun depan mereka akan tambah lagi untuk menghantar pelajar-pelajar kita dalam program TVET (MCYTT) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Pelepasan Peserta MYCTT di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pada peringkat awal, Kerajaan China menawarkan sebanyak 3,125 tempat di 225 institusi TVET di negara tersebut.

Bagaimanapun, hasil lawatannya ke negara tembok besar itu pada Julai lalu, beliau bersyukur kerana Kerajaan China bersetuju menambah 2,000 lagi tempat menjadikan keseluruhan 5,125 tempat.

“Ini ada kaitan hubungan diplomatik tahun yang ke-50 antara China dan Malaysia. Kita ketahui bahawa Malaysia 50 tahun yang sudah di bawah kepimpinan (Perdana Menteri kedua), Tun Abdul Razak Hussein, beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri China, Zhou Enlai.

“Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang telah membuka kedutaan dan juga mengadakan hubungan diplomatik dengan negara China. Pihak China sangat menghargai Malaysia. Itulah sebabnya antara negara yang paling rapat di ASEAN ini dengan China ialah negara kita, negara Malaysia,” katanya.

MCYTT bermula sejak 2 Julai tahun lalu yang memfokuskan penghantaran bakat TVET dalam kalangan belia ke China.

Peserta program berkenaan akan menjalani latihan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam pelbagai bidang antaranya teknologi kenderaan elektrik, solar, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Sehingga kini, seramai 1,776 bakat TVET tempatan dalam kalangan belia menjalani latihan di China menerusi institusi TVET serta industri di negara berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedia menanggung sepenuhnya kos penerbangan peserta yang mengikuti program MCYTT di China.

Beliau berkata, keputusan itu adalah bagi mengurangkan beban ditanggung keluarga peserta yang sebelum ini perlu mengeluarkan wang sendiri bagi membeli tiket penerbangan.

“Saya dimaklumkan, nasib bahawa saudara-saudari yang pergi ke China belajar pada kali ini terpaksa mendapat pertolongan daripada ibu bapa untuk membeli tiket masing-masing.

“Insya-Allah dalam waktu yang tidak lama, kita bayar balik. Yang dah pergi dulu-dulu guna tambang sendiri pun kita akan bayar (balik). Duitnya dah ada tapi (tunggu) prosedur saja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini