comscore
Tumpuan :
Nasional

HSN platform perkukuh semangat, erat perpaduan pelbagai kaum- Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra. Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli (tiga kiri) dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub (tiga kanan). FOTO: NSTP

KANGAR: Hari Sukan Negara (HSN) menjadi platform terbaik bagi memperkukuh semangat dan ukhuwah perpaduan dengan pembabitan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, sekali gus mengamalkan gaya hidup aktif dan budaya sihat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata usaha memperkasakan masyarakat perlu ditingkatkan terutama untuk memastikan golongan muda cergas dan sihat dalam konteks Malaysia MADANI yang sering ditekankan, selain aspek kesukanan perlu diangkat ke satu aras tinggi.

“HSN membuktikan keprihatinan kerajaan mengiktiraf kepentingan sukan dalam membentuk masyarakat yang cergas, produktif dan bersatu padu. Ia dijadikan agenda nasional bagi membolehkan Malaysia menjadi negara bersukan atau “sporting nation.”

“Penganjuran HSN yang disambut selama sedekad sejak kali pertama diperkenalkan pada 2015 bertujuan meningkatkan pembabitan aktif rakyat Malaysia selaras strategi digariskan di bawah Visi Sukan Negara 2030 dan kerangka Malaysia MADANI,” katanya berucap merasmikan sambutan HSN 2024 Peringkat Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

FOTO: NSTP

Turut hadir Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

HSN dijadualkan pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober dengan hasrat membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas serta aktif.

Sambutan HSN peringkat negeri dan bahagian di Sarawak untuk tahun ini diselaraskan semula pada 19 Oktober ini bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Fadillah berkata, penganjuran HSN mencatatkan penyertaan 36 juta orang sejak 2015 hingga tahun lalu dan Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) menunjukkan domain skor pembabitan rakyat dalam sukan meningkat kepada 52 peratus pada 2023 berbanding 48 peratus pada 2022.

Beliau berkata, ia amat penting kerana negara yang mempunyai rakyat sihat menyumbang kepada negara produktif dan mengurangkan bil kesihatan yang semakin meningkat saban tahun. -BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini