Tumpuan :
Nasional

HSAH lakukan siasatan dakwaan pesakit tidak dapat rawatan yang tepat

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) mengambil serius dakwaan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu tidak memberikan rawatan yang tepat, sehingga menyebabkan seorang pesakit meninggal dunia.

Dalam satu kenyataan, HSAH memaklumkan pengurusan hospital telah memulakan siasatan berhubung dakwaan itu pada 7 Disember lalu.

“Jaminan KKM adalah bahawa setiap aduan akan disiasat secara telus mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Hasil siasatan akan hanya dimaklumkan kepada ahli keluarga atau waris pesakit bagi mengawal kerahsiaan maklumat.

“KKM juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan amat kesal dengan kejadian ini. Pihak KKM juga tidak akan berkompromi sekiranya didapati berlaku kecuaian semasa pesakit mendapat rawatan di fasiliti ini,” katanya.

KKM katanya tegas dalam mengutamakan keselamatan pesakit, dengan perkhidmatan kepada pelanggan diberikan mengikut standard yang ditetapkan tanpa mengabaikan hak-hak pelanggan.

Terdahulu, satu paparan Facebook dengan nama David Marshel tular mendakwa seorang pesakit bernama Chandran Subramaniam, 51 meninggal dunia akibat serangan jantung sekitar jam 6.31 pagi, 3 Disember di HSAH.

Mangsa didakwa hadir di hospital itu pada jam 12.45 tengah malam setelah mengalami sesak nafas dan sakit dada.

Selepas pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) dilakukan, mendiang diberikan ubat gastrik dan diminta menunggu giliran.

Bagaimanapun, mangsa hanya menerima rawatan susulan pada jam 6 pagi selepas mula tenat dan disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.

Loading...
Terkini