Oleh: Vinsla Santiran
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan meneruskan pembiayaan kursus pembangunan keluarga dan keibubapaan kepada pekerja menggunakan caruman levi majikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut bagi membantu mengimbangi keperluan keluarga dan kerjaya yang semakin mencabar.
Anwar turut berharap lebih banyak majikan akan menghantar pekerja mereka menghadiri kursus pembangunan keluarga dan kemahiran keibubapaan sepanjang November ini.
“Ambillah peluang, kerana usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti pekerja selain membantu dalam mengimbangi kehidupan bekerjaya dan berkeluarga seterusnya memperkukuhkan institusi keluarga para pekerja.
“Pada masa sama, perkara ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada kesihatan mental yang baik.”
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK2024) yang diadakan di Taman Botani di sini, hari ini.
Selain itu katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensi di bawahnya termasuk pengusaha pelancongan seperti hotel dan inap desa, Persatuan Taman Tema dan Persatuan Peniaga-Peniaga akan menawarkan pakej-pakej istimewa untuk percutian keluarga.
“Tidak terkecuali saya juga sarankan syarikat penerbangan turut sama memberi pakej keluarga bagi mana-mana destinasi percutian keluarga.” katanya.
Pelbagai inisiatif dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) termasuk program pendidikan keibubapaan dan kekeluargaan di seluruh negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.