Oleh Zahir Senapiah
MUAR: Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Tenaga Negara 2022 (NEA2022) bagi Kategori 1 – Pengurusan Tenaga (Bangunan Besar).
Anugerah itu disampaikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Pengarah HPSF, Dr Muhammad Yusof Sibert, di ibu negara, semalam.
HPSF adalah sebuah hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan memiliki keluasan seluas 42.5 ekar dan mula beroperasi pada tahun 1918.
Hospital berkenaan memberi perkhidmatan kepada lebih 328,696 orang dan juga berperanan sebagai ‘Hospital Pengajar’.
HPSF dengan kerjasama syarikat konsesi (Medivest Sdn Bhd) membangunkan Sistem Pengurusan Tenaga Lestari (EnMS) sejak Tahun 2016 dan berjaya menjimatkan tenaga sebanyak 5.26 Mega-Watt-Jam (MWJ) bersamaan dengan 3,654 tan pengurangan Carbon Dioksida (CO2).
Langkah itu berjaya menjimatkan kos operasi sebanyak RM2.22 Juta.